Tudung dan Wanita

Tudung dan wanita adalah sinonim. Juga dikatakan tudung dan wanita Melayu tidak kan dapat dipisahkan ibarat ’ irama dan lagu’, seperti yang diilhamkan kepada allahyarham Tan Sri P.Ramlee dalam lagu hit sepanjang zaman karya beliau “Getaran Jiwa”. Tudung dan wanita juga melambangkan personaliti, budaya dan ciri-ciri adab ketimuran. Ramai di antara golongan wanita bukan Islam begitu terpukau dengan keayuan muslimah bertudung. Di samping tu, penampilan dan gaya yang ditonjolkan oleh wanita bertudung begitu menggambarkan kehalusan budi pekerti dan keayuan paras rupa.

Tapi begitu menyedihkan dengan situasi hari ini yang mana imej tudung dan wanita Melayu makin tercalar akibat perbuatan khianat segelintir wanita Melayu sendiri.

Bunyinya kasar?

Bagi saya kenyataan di atas tidaklah sekasar mana kerana berbanding tohmahan yang terpaksa dipikul sama oleh muslimah lain yang juga bertudung tetapi tidak terlibat dengan kegiatan tidak bermoral tersebut.

Sebelum ini, begitu indah dan sedap didengar bila dikatakan tudung dan wanita melambangkan kesucian dan kejernihan iman muslimah. Tudung dipakai atas niat menutup aurat dalam mematuhi syariat yang digariskan oleh agama Islam. Segalanya yang disyariatkan oleh Islam adalah baik, namun ada pihak dengan menggunakan cara yang begitu halus, cuba mengubah hakikat tersebut. Kini, dengan kejayaan segelintir golongan wanita Melayu mencemarkan identiti tudung dan wanita Melayu sendiri, maka persepsi ini harus dibendung dan diperbetulkan.

Pemakaian tudung sepatutnya mesti didasarkan atas pemahaman mengenai hukum Islam. Hakikat bahawa ‘tiada paksaan di dalam Islam’ adalah benar tetapi tiada paksaan tidak boleh mengatasi pernyataan jelas dalam hukum yang telah ditetapkan oleh ALLAH. Yang dihalalkan oleh hukum ALLAH tetap halal dan sebaliknya, yang diharamkan oleh ALLAH tetap haram. Panduan halal dan haram ini begitu banyak dan jelas dinyatakan di dalam Al-Quran dan hadith Nabi Muhammad s.a.w.

Pemahaman hanya boleh diperolehi melalui pembelajaran. Maka pembelajaran dan penekanan mengenai hukum-hukum ini mesti dititikberatkan di dalam sistem pembelajaran dan pengajaran negara. Ini bagi memastikan pencemaran identiti muslimah bertudung dapat dibendung dan tidak dibiar berterusan.

Imej bertudung untuk muslimah perlu dikembangkan ke serata pelusuk dunia. Imej tudung dan wanita Melayu tulen pula perlu diluaskan melepasi sempadan negara. Penekanan demi penekanan perlu dibuat agar imej suci dan bersih ini dikembangkan kepada konsep tudung dan wanita Islam. Ini penting bagi memastikan imej bertudung di kalangan wanita Islam tidak diperlekehkan oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

Melihat pula kepada perspektif lain, dengan berkembangnya pemakaian tudung di kalangan Muslimah, industri tudung semakin berkembang giat sama ada dari segi penghasilan tudung, rekabentuk fesyen tudung, cara ikatan tudung , aksesori tudung, mahupun penjualan tudung online atau pun konvensional.

Ini membantu dari segi penjanaan ekonomi domestik di mana kebanyakan pengusaha dan penjual tudung adalah dari golongan wanita. Industri tudung perlu ditingkatkan supaya dapat mengatasi industri hiburan melalaikan yang tidak membawa apa-apa manfaat yang baik kepada masyarakat.

Begitu diharapkan agar di suatu masa yang terdekat, perniagaan tudung bukan sekadar hanya menjual kepingan-kepingan kain untuk menutup aurat, tetapi juga menjadi empayar industi yang menjadi kebanggaan muslimah di serata dunia.

Salam kejayaan.
Roseanne Erina Abdullah

Tudung dan Wanita

Tiada ulasan: