Koleksi Fesyen Tudung Muslimah.

Tudung Pearl, Tudung Bawal, Tudung Dubai

Adakah bertudung sama ada dengan tudung Pearl atau tudung Bawal atau tudung Dubai,di kalangan muslimah masa kini dikira sebagai aliran fesyen terkini?

Hanya Jauhari Mengenal Manikam.

Andaian ini adalah begitu subjektif, bergantung kepada si pemakai dan si penilai.Jika pun ia dikategorikan sebagai perkembangan dalam dunia fesyen masakini, tidaklah keterlaluan jika dikatakan perkembangan koleksi fesyen tudung muslimah ini adalah anjakan positif yang telah ditunjukkan oleh kaum Hawa di Malaysia khususnya.
Walaupun saya tidak bertudung, tetapi terlalu banyak perspektif menarik yang meronta minda dan pandangan saya agar memberi perhatian kepada isu fesyen tudung muslimah ini.

Saya juga bukanlah sorang peminat khusus dalam bidang fesyen tetapi terdapatnya kepelbagaian atau variasi koleksi fesyen tudung muslimah ini begitu menarik perhatian saya.

Konsep pemakaian tudung berfesyen kini tidak sahaja meliputi golongan pemakai tudung remaja dan kanak-kanak malahan turut meliputi para pemakai tudung golongan wanita berumur iaitu kategori makcik-makcik dan juga nenek-nenek. Jika diperhatikan dengan mendalam, konsep fesyen tudung ini telah diperkembangkan melalui aktiviti-aktiviti kejiranan (ketika ahli-ahli kelab ibu berkumpul) dan juga melalui majlis-majlis rasmi dan tidak rasmi.

Dari segi istilah, tudung merujuk kepada penutup secara melitupi. Oleh yang demikian, istilah menutup pintu tidaklah sesuai jika digantikan dengan menudung pintu.

Contoh mudah untuk menggambarkan kesesuaian penggunaan perkataan tudung adalah seperti tudung saji. Tudung saji merujuk kepada penutup sajian, iaitu gabungan perkataan tudung dan saji. Tudung botol oren pula merujuk kepada penutup botol minuman (Fanta, 7up,) yang popular di zaman 70 dan 80an.

Walau bagaimanapun, dewasa ini, telah wujud fenomena baru dalam konsep pengistilahan menggunakan perkataan tudung kepala iaitu, kain yang dipakai oleh wanita untuk menutup aurat mereka. Sebagai contoh, telah terdapat istilah-istilah seperti Tudung Bawal, Tudung Ekin, Tudung Erra, Tudung Dubai, Tudung Pearl dan segala jenis mak nenek istilah tudung lagi yang berevolusi dari hari ke hari.

Bagi mereka yang kurang mengambil kisah perihal tudung atau kepada mereka yang baru belajar menggunakan Bahasa Melayu seperti salah seorang model iklan kopi Radix (mai secawan!), pengistilahan tudung yang digunakan ini mungkin mengelirukan mereka. Mari kita cuba dalami beberapa nama tudung yang popular ketika ini:

Tudung Bawal

Jika perkataan tudung dimaksudkan sebagai penutup, adakah tudung bawal merujuk kepada penutup bawal (sejenis ikan laut)? Jika ianya benar, maka ini bakal membuktikan kepantasan evolusi tudung kerana telah ada tudung khas untuk kepala ikan bawal. Tidak, tudung bawal tidak sama sekali merujuk kepada penutup kepala ikan bawal mahupun penutup untuk ikan bawal yang terjual di pasar tetapi tudung bawal merujuk kepada bentuk tudung ini yang mirip kepada bentuk ikan bawal.

Tetapi hujah bantahan mungkin ditimbulkan, bentuk tudung ini juga mirip kepada bentuk kuih sepit, kenapa tudung tersebut tidak digelar tudung kuih sepit (kuih tradisional yang kini banyak dikomersialkan dalam industri kecil dan sederhana (IKS))?

Tudung Pearl

Pearl, perkataan Inggeris yang bermaksud mutiara. Seperti penjelasan untuk untuk Tudung Bawal sebelum ini, Tudung Pearl juga tidak ada kaitan dengan penutup kepala mutiara atau penutup mutiara di dasar lautan.

Pengistilahan Tudung Pearl menambahkan satu lagi kepelbagaian di dalam perbendaharaan istilah untuk jenis tudung kerana Tudung Pearl tidak merujuk kepada bentuk tudung yang bulat seperti pearl. Asal usul istilah dan hubungkait tudung dan pearl ini tidaklah dapat saya perjelaskan lebih lanjut di sini kerana kekurangan maklumat terkini. Adakah mungkin istilah ini wujud kerana tudung ini dihasilkan menggunakan perl atau mungkinkah tudung ini disaluti pearl dari bucu ke bucu? Saya persilakan untuk anda menilai.

Tudung Ekin dan Tudung Erra

Persoalan ini wajar diutarakan terus kepada Ekin Rahmat dan Erra Fazira iaitu artis-artis Malaysia yang terkenal, kerana nama mereka dilibatkan terus dengan istilah ini.

Perkara menarik di sebalik kewujudan kepelbagaian fesyen tudung muslimah dengan nama-nama yang unik dan menarik ini adalah, berkembangnya pasaran untuk diceburi oleh para usahawan dan usahawanis Bumiputera.

Cara dan konsep penjualan juga telah digerakkan ke satu dimensi yang lebih hadapan. Walaupun belum wujud istilah pasaran niaga hadapan bagi tudung tetapi tahap keaktifan pasaran tudung ini tidak wajar diperkecilkan.

Selain jualan secara konvensional di bazar-bazar, di pasar-pasar malam, di kedai-kedai, di gedung-gedung pakaian dan di pasaraya-pasaraya besar seluruh negara, penjualan dan pembelian tudung secara online (maya) juga semakin bercambah bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Pembelian tudung secara online (maya) semakin menjadi pilihan terutamanya kepada muslimah kategori remaja dan umur pertengahan yang lebih terdedah kepada dunia bisnes online.

Selain konsep pembelian online (maya) yang mudah diaplikasikan, pembeli juga tidak perlu menjelajah ke serata bandar untuk mencari tudung pilihan. Memadai dengan melayari web yang menyediakan katalog, pilihan adalah lebih mudah dibuat. Dimensi pemilihan dan pembelian secara online ini, walau bagaimanapu, mungkin menyalahi konsep asas membeli belah yang diguna pakai sekian lama oleh kaum Hawa iaitu melihat, memegang, merasa, menawar, melihat yang lain dan membeli di kedai lain, tetapi secara praktikalnya, dalam zaman yang serba pantas ini, pemilihan melalui deria ke-enam iaitu mengandaikan dan meyakini produk yang dilihat adalah terbaik untuk mereka, begitu memenuhi citarasa pembeli online.

Inovasi para peniaga tudung online(maya) juga adalah begitu mengkagumkan dan begitu kos efektif dewasa ini. Sebagai contoh, terdapat usahawanis tudung secara online memperaga dan menggayakan fesyen tudung yang dijual menggunakan peragawati-peragawati (jelita) sebenar berbanding menggunakan patung kepala botak yang biasa digunakan sebelum ini.

Oleh yang demikian, pembeli lebih mudah memilih fesyen tudung yang bersesuaian dengan mereka berdasarkan penggayaan sebenar yang diperagakan oleh model-model (jelita) terbabit. Ini membantu pembeli tudung secara online membuat keputusan jika satu-satu jenis tudung itu bersesuaian dengan bentuk muka mereka kerana kesilapan memilih bentuk tudung bakal memberi kesan kepada gaya yang dibawakan, khususnya ke majlis-majlis tertentu yang mana setiap aspek pakaian adalah dititikberatkan. Tambahan lagi, dengan penggayaan tudung oleh model-model (jelita) terbabit, pembeli juga mendapat gambaran jelas mengenai kesesuaian fesyen tudung dengan busana dari segi skema warna,corak dan fesyen baju. Secara tidak langsung, penggunaan gambar model-model (jelita) ini memberikan nilai tambah (value added) kepada fesyen tudung yang dijual.

Kesimpulan untuk artikel kali ini, pengistilahan dalam fesyen tulung muslimah terkini ini begitu menyemarakkan industri tudung di Malaysia. Selain keutamaan memenuhi tuntutan agama Islam yang mensyariatkan agar para muslimah menutup aurat, kepelbagaian fesyen tudung juga bakal membuka ruang besar dalam perniagaan khususnya industri tekstil. Moga kita terus membantu, menyumbang dan menyokong usaha-usaha gigih yang ditunjukkan oleh para peniaga pelbagai fesyen tudung ini.

Salam kejayaan.
Roseanne Erina Abdullah

Koleksi Fesyen Tudung Muslimah:Tudung Pearl, Tudung Bawal, Tudung Dubai

1 ulasan:

Ammar Muktafi berkata...

Hai, saya setuju dengan saudari (mesti manis kan orangnya ni?).

Begitu juga dengan tudung oren yang lebih terkenal sebagai permainan main tudung botol oren atau pepsi di kalangan kanak-kanak lahir di zaman 70-an.

Saya berterimakasih kepada saudari kerana telah menerbitkan artikel berkenaan tudung yang menarik ini. Sukar untuk cari bahan sebegini di alam maya karin ini.

Harap ini bukanlah artikel penutup saudari sekalipun tudung itu boleh juga dikategorikan sebagai penutup.

Semoga saudari Rosenane Erina akan terus berjaya dengan kerjaya sebagai pedagang tidung.

TQ.

Yang rajin membaca tudung,
~Gudung