Tudung Pearl vs Tudung Ninja

Apa itu Tudung Ninja?

Ia merujuk kepada satu alat atau dikira senjata yang digunakan oleh para Ninja.Bagi mereka yang menggemari drama dan filem kepahlawanan Jepun, istilah Ninja bukan lagi sesuatu yang asing bagi anda. Ninja adalah pahlawan Jepun yang telah dilatih dengan ilmu pertahanan diri yang jitu untuk menghadapi musuh-musuh Maharaja Jepun. Latihan yang mereka lalui membolehkan mereka bertindak dalam apa juga keadaan dan masa, siang atau malam, di belantara atau kawasan-kawasan lain. Senjata yang digunakan oleh para Ninja ini dikenali sebagai Tudung Ninja. Walau bagaimanapun, para Ninja itu tidaklah dilatih untuk menjual Tudung Ninja.

Semasa kecil, ketika di sekolah rendah, terdapat beberapa rakan sekelas saya yang telah memperkenalkan permainan Tudung Ninja ini. Ia diperbuat menggunakan tudung botol oren yang dileperkan dan kemudiannya digunting menjadi bentuk bergigi atau berbintang. Bintang di sini bukan seperti bintang zodiac yang mengarut, tapi berbucu-bucu tajam di sekelilingnya.

Pada ketika itu, permainan video Sony Playstation masih dalam peringkat kajian di Jepun. Permainan video 2-dimensi yang popular hanyalah Tetris dan Soccer yang terdapat di kedai-kedai arked video yang tidak membenarkan kanak-kanak berpakaian seragam sekolah untuk masuk Jadi rakan-rakan saya itu telah dilhamkan untuk mereka Tudung Ninja ini bagi menzahirkan sokongan tidak berbelah bagi terhadap keperwiraan Ninja yang banyak dipertontonkan ketika itu. Tambahan lagi, mungkin kerana menyahut seruan kerajaan dengan dasar “pandang ke Timur”, drama-drama bersiri seperti Moero Attack (kisah pemain bola tampar yang mampu membuat terjahan ‘summersault’ dua tiga pusingan sebelum memukul bola ke pihak lawan),Shogun Samurai (kisah Ninja Jepun yang menarik dan terdapat nama watak-watak yang masih saya ingati hingga kini seperti Sasuka, Jighei) begitu meriah ditayangkan di RTM1 dan RTM2 (agak sukar mendapat siaran TV3 kecuali antenna televisyen dipasang di atas pokok kelapa).

Daripada asalnya menjadi hobi, kegilaan permainan Tudung Ninja itu telah memasuki dunia perniagaan. Dimulakan tanpa modal kerana tudung-tudung botol oren begitu mudah didapati, hanya usaha dan kreativiti yang diperlukan untuk menghasilkan alat tersebut.

Penjualan Tudung Ninja itu begitu menggalakkan sehingga pembeli terpaksa membuat tempahan awal dan menunggu beberapa hari untuk ia disiapkan. Perniagaan Tudung Ninja tersebut tidaklah bermotifkan keuntungan semata-mata kerana persaingan pada ketika itu tertumpu kepada penghasilan Tudung Ninja yang berkualiti dan halus dari segi pembuatannya.

Satu aspek menarik tentang Tudung Ninja ketika itu ialah ianya tidak pernah disalah guna sebagai senjata yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada sesiapa. Walaupun Tudung Ninja diilhamkan dari drama Jepun yang menggunakan ia sebagai senjata dan kami menyedari alat tersebut adalah cukup merbahaya jika digunakan sebagai senjata, tetapi konsep ketika itu adalah, Tudung Ninja itu adalah permainan dan ianya tidak wajar sama sekali dijadikan senjata.

Kami masih rasional kerana di sepanjang waktu kegilaan Tudung Ninja, tidak ada sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Amat menyedihkan kerana situasi adalah cukup berbeza pada zaman ini di mana kerosakan akhlak dan keruntuhan nilai-nilai moral di kalangan pelajar membuktikan semakin lunturnya tahap rasional dan moral pelajar. Pelajar kini semakin rendah akhlak dan semakin tidak dapat membezakan yang mana baik dan yang mana buruk.

Perihal Tudung Ninja begitu menggamit kenangan zaman kanak-kanak yang pernah saya lalui. Walaupun tidak disaluti kemewahan tetapi memang cukup menggembirakan hati.

Salam Kejayaan.
Roseanne Erina Abdullah

Tudung Pearl vs Tudung Ninja

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya bukan Ninja...tapi saya memang pakai tudung.